Mari kita mendengar hadith Rasulullah saw
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t menjadikan rahmat sebanyak seratus bahagian. Dia menahan di sisi-Nya sebanyak sembilan puluh sembilan dan diturunkan ke bumi hanya satu bahagian. Dari satu bahagian inilah seluruh makhluk saling kasih mengasihi antara satu sama lain sehinggakan binatang mengangkat kaki dari anaknya takut terpijak atau menyakiti anaknya.
Hadis Umar bin Al-Khattab r.a:
Sesungguhnya beliau membawa beberapa orang tawanan menemui Rasulullah s.a.w. Seorang wanita dari kalangan tawanan tersebut kelihatan mencari sesuatu. Sebaik sahaja dia menemui seorang bayi dari kalangan tawanan, dia mengambil bayi tersebut lalu didukung dan disusuinya. Lantas Rasulullah s.a.w bersabda kepada kami: Adakah pada pandangan kamu wanita ini sanggup membuang anaknya ke dalam api? Kami menjawab: Tidak. Demi Allah dia tidak sanggup membuangkannya. Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t amat kasihan belas terhadap hamba-Nya daripada kasih sayang perempuan ini terhadap anaknya.
Hadis Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang lelaki yang tidak pernah membuat kebaikan berkata kepada keluarganya bahawa apabila dia mati, bakarlah jenazahnya dan buangkan abunya. Sebahagian di darat dan sebahagian lagi ke laut. Demi Allah! Sekiranya Allah ingin mengazabnya, pasti akan diazab dengan seksaan yang tidak pernah dilakukan terhadap orang lain. Sebaik sahaja lelaki tersebut mati, dia diperlakukan sebagaimana permintaannya. Lalu Allah s.w.t memerintahkan abu yang dibuang ke bumi supaya bercantum. Kemudian memerintahkan pula abu yang dibuang ke laut supaya bercantum. Setelah semuanya bercantum, Allah s.w.t berfirman: Mengapa kamu lakukan semua ini. Dia menjawab: Kerana takut kepada-Mu Ya Allah dan Engkau lebih mengetahui segala-galanya. Lalu Allah mengampuni lelaki tersebut.
Hadis Abu Hurairah r.a:
Nabi s.a.w bersabda tentang apa yang baginda terima dari Allah s.w.t katanya: Seorang hamba Allah melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah dosaku. Allah s.w.t berfirman: Hamba-Ku telah melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa. Kemudian hamba Allah tersebut kembali melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah dosaku. Allah s.w.t berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa. Kemudian hamba Allah tersebut kembali melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah dosaku. Allah s.w.t berfirman: HambaKu melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa. Oleh itu buatlah sesuka hatimu, Aku akan ampunkan dosamu. Hamba tersebut berkata: Aku tidak tahu sehingga kali ketiga atau keempat aku meminta keampunan, tetapi Allah s.w.t tetap berfirman: Buatlah sesuka hatimu, Aku tetap akan mengampunkan dosamu.
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingati-Ku dalam suatu kaum, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekati-Ku dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari-lari anak.
Hadis Abu Hurairah r.a:
Nabi s.a.w bersabda: Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama. Sesiapa yang mampu menghafalnya, nescaya dia akan masuk Syurga. Sesungguhnya Allah itu ganjil (esa pada zat, sifat dan perbuatan-Nya serta tiada sekutu bagi-Nya) dan Dia menyukai pada yang ganjil.
Hadis Anas r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu berdoa, maka hendaklah kamu berazam serta benar-benar memohon kepada Allah s.w.t dan janganlah berkata: Ya Allah, jika Engkau kehendaki maka perkenankanlah kepada aku, kerana sesungguhnya Allah itu bukanlah kedekut.
Hadis Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu berdoa, janganlah berkata: Ya Allah, ampunilah aku jika Engkau kehendaki. Tetapi hendaklah dia serahkan permohonannya dengan senang hati, kerana Allah tidak pernah segan untuk memberikan sesuatu kepadanya.
Hadis Anas r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu bercita-cita supaya cepat mati kerana ditimpa sesuatu kesulitan. Sekiranya dia berada dalam keadaan yang mengharuskan dia berbuat demikian, bolehlah dia berkata: Ya Allah, hidupkanlah aku sekiranya hidup itu lebih baik bagiku. Akan tetapi sekiranya mati itu lebih baik bagiku, matikanlah aku.
Hadis Khabbab r.a:
Diriwayatkan daripada Qais bin Abu Hazim r.a katanya: Aku menemui Khabbab dan aku melihat dia sedang membakar tujuh luka yang terdapat di perutnya dengan besi panas. Lalu dia berkata: Kalau bukan kerana Rasulullah s.a.w melarang aku berdoa supaya cepat mati, nescaya aku akan berdoa untuk itu.
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu bercita-cita supaya cepat mati dan janganlah kamu berdoa supaya mati sebelum kematian itu sendiri datang kepadamu. Sesungguhnya apabila kamu mati, akan terputuslah segala amalan kamu. Sebaliknya apabila dipanjangkan umur seorang mukmin bererti bertambahlah kebaikannya.
Hadis Ubadah bin As-Somit r.a:
Nabi s.a.w bersabda: Sesiapa yang suka bertemu Allah, maka Allah juga suka bertemu dengannya. Begitu juga sesiapa yang tidak suka bertemu Allah, nescaya Allah juga tidak suka bertemu dengannya.
Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang suka bertemu Allah, nescaya Allah juga suka bertemu dengannya. Begitu juga sesiapa yang tidak suka bertemu Allah, nescaya Allah juga tidak suka bertemu dengannya. Aku bertanya: Wahai Nabi Allah! Apakah kita perlu membenci mati? Di mana kami semua membenci mati. Baginda bersabda: Bukan begitu. Seseorang mukmin apabila diberitahu berita gembira dengan rahmat Allah, keredaan-Nya dan Syurga-Nya nescaya dia pasti suka untuk bertemu Allah dan Allah juga suka bertemu dengannya. Sedangkan orang kafir apabila diberitahu adanya seksa serta murka Allah, dia tidak akan suka bertemu Allah dan Allah juga tidak suka bertemu dengannya.
Hadis Anas r.a:
Rasulullah s.a.w menziarahi seorang lelaki Islam yang sakit tenat, tak bermaya untuk bergerak seolah-olah seekor anak burung yang baru menetas. Rasulullah s.a.w bertanya lelaki tersebut: Apakah kamu pernah berdoa memohon supaya diberi sesuatu? Lelaki itu menjawab: Ya. Aku berdoa: Ya Allah, jika Engkau ingin menyeksaku di akhirat kelak, tolonglah laksanakannya terhadapku di dunia ini. Mendengar kata-kata tersebut Rasulullah s.a.w bersabda: Maha Suci Allah s.w.t, kamu tidak akan mampu atau tidak akan berkuasa memikulnya. Bukankah lebih baik kamu berkata: Ya Allah,
آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Yang bermaksud: Berikan kepadaku kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta peliharalah aku dari seksa Neraka. Anas berkata: Lantas baginda berdoa kepada Allah s.w.t untuknya sehinggalah akhirnya dia sembuh dari penyakit tersebut.
Loading...
salam…bersangka baiklah pada Allah ketika melakukan sesuatu…andaikata sesuatu perkara yang ingin kita capai tak tercapai…kemungkinan ada hikmah dan kebaikan yang kita dapat di sebaliknya…Wallahualam….
zinnirah - January 16, 2008 at 10:09 am
perbanyak lah selalu membaca alquran dan hadist dan mengamalkannya agar hidup kita selamat dunia dan akhirat.
dedi - May 14, 2008 at 2:59 pm